MUHYIDDIN bersama Pengerusi Centre for Public Policy Studies, Tan Sri Dr Ramon V Navaratnam (dua dari kanan); Dr Jeffrey (tiga dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif Asli, Datuk Dr Micheal Yeoh (dua dari kiri) pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Ke-14 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya, semalam.

Kementerian Pelajaran laksanakan kurikulum baru dalam pengajaran, pembelajaran

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sedang melaksanakan kurikulum baru yang menerapkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran merentasi semua mata pelajaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kurikulum itu membuka laluan kepada pelajar untuk menerokai dan membuat penemuan kaedah pembelajaran yang baru melalui eksperimen, reka cipta serta penyelidikan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pendekatan baru itu bukan hanya sesuai dilaksanakan untuk mata pelajaran Sains tetapi juga Kemahiran Hidup dan Keusahawanan.

“Saya percaya keberkesanan kurikulum baru ini akan bergantung kepada keupayaan guru memperbaiki amalan pengajaran di dalam bilik darjah. Strategi pengajaran dan pembelajaran harus menggunakan pendekatan inkuiri yang membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan penuh yang menggabungkan pelbagai teknik berpusatkan pelajar.
“Ini termasuk eksperimen, perbincangan rakan sebaya, simulasi, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesaikan masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan luar bilik darjah.

“Saya berharap dengan pelaksanaan kurikulum baru ini, guru akan lebih inovatif dalam amalan pengajaran dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif serta memacu potensi inovatif dalam kalangan generasi muda kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Ke-14 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan kurikulum baru itu adalah sebahagian daripada inisiatif dalam agenda kerajaan menyediakan dan memperluas pendidikan berkualiti.

Katanya, inisiatif itu dilengkapi dengan literasi ICT yang kini menjadi salah satu komponen utama dalam kurikulum sekolah kerana teknologi itu dapat membangunkan kemahiran belajar yang penting seperti pemikiran kritikal, menganalisa maklumat dan menyelesaikan masalah.

Selaras pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB), katanya, fokus ialah untuk memberikan nafas baru kepada model pembangunan insan dengan menerapkan lebih banyak elemen kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara.
Sementara itu, berucap pada majlis makan malam ‘Budi Disemai, Bakti Dituai’ anjuran Umno Bahagian Bukit Bintang di Dewan Perdana Felda, malam tadi, Muhyiddin menggesa kumpulan berkepentingan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya orang Melayu supaya mengambil peluang mengetengahkan idea dan cadangan bernas bagi memantapkan pengisian MEB.
Katanya, cadangan dan idea itu wajar dikemukakan segera sebelum MEB yang kini masih pada peringkat perbincangan disempurnakan.
“Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengemukakan sebarang pandangan, cadangan dan idea bagi memantapkan MEB, sekali gus memastikan apabila dasar ekonomi baru itu disempurnakan, kepentingan semua pihak terpelihara,” katanya.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dijangkakan dengan inisiatif baru diperkenalkan di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, sasaran Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 akan tercapai.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Muhyiddin mahu supaya jentera Umno Bahagian Bukit Bintang meneruskan tugas dan tanggungjawab memikul amanah supaya masyarakat di kawasan itu khususnya orang Melayu yang memerlukan pembelaan dapat hidup dalam keadaan bahagia dan sejahtera.

“Walaupun kita (Barisan Nasional) tidak ada wakil di kawasan Bukit Bintang kerana kawasan ini dikuasai pembangkang, kita perlu meneruskan tugas dan tanggungjawab kerana tidak bermakna masyarakat di kawasan maju ini tidak berdepan dengan masalah hidup, ” katanya.

 

 (Sumber dari Syuhada Choo Abdullah: http://www.bharian.com.my)