Inovasi adalah perubahan cara berfikir untuk mendapatkan hasil atau produktiviti yang lebih baik dari semasa ke semasa. Ia bukan hanya berkaitan sains dan teknologi semata-mata.

Inovasi juga bukan hanya untuk golongan profesional tetapi perlu difahami oleh masyarakat dari pelbagai taraf sosial tidak kira di bandar atau pedalaman.

Seorang petani boleh melakukan inovasi dengan mengubah pisau atau peralatan yang digunakan di ladang supaya mampu menghasilkan lebih banyak produktiviti. Seorang nelayan yang mengubah suai jala untuk menangkap lebih banyak ikan juga melakukan inovasi. Kedua-dua contoh ini adalah inovasi akar umbi.

Kuih yang dijual di kampung dan dibungkus dengan menarik mungkin boleh dijual pada harga yang lebih tinggi. Bungkusan baru yang lebih menarik adalah satu inovasi. Nasi lemak yang dijual di kafe gedung membeli-belah lebih mahal berbanding nasi lemak yang disediakan menggunakan ramuan yang sama dan dijual di warung-warung di kampung. Di kafe, pelanggan perlu membayar harga inovasi seperti lauk tambahan dan suasana yang lebih selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr. Kamal Jit Singh berkata, masyarakat Malaysia bagaimanapun tidak mengiktiraf perubahan dan pembaharuan sebagai inovasi.

‘‘Ini menyebabkan negara berhadapan dengan krisis inovasi sekarang. Jadi, kesedaran mengenai kepentingan inovasi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat seiring dengan kemajuan negara dan perubahan global,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Pejabat Perdana Menteri, Perdana Putra, Putrajaya baru-baru ini.

Laporan Model Baru Ekonomi (MBE) mengatakan inovasi semakin merosot di Malaysia di antara 2002 dan 2007. Bank Dunia pula meramalkan keadaan berkenaan berisiko menyebabkan Malaysia berdepan dengan masalah ekonomi yang serius pada masa akan datang jika perubahan tidak dilaksanakan.

Menyedari hakikat tersebut, Pejabat Perdana Menteri mewujudkan Unit Inovasi Khas atau ringkasnya Unik pada Ogos 2010 dengan 15 pegawai. Sementara Rang Undang-Undang Agensi Inovasi Malaysia diluluskan Dewan Negara pada bulan lalu dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada awal minggu ini.

Akta berkenaan membolehkan sebuah badan berkanun, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) ditubuhkan. Unik memainkan peranan membantu penubuhan AIM. Pada masa ini, Dasar Inovasi Negara sedang dirangka sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet pada bulan depan bagi membolehkan AIM dilancarkan.

Jelas Kamal Jit, akta yang diluluskan baru-baru ini digubal berdasarkan Akta Inovasi Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, India dan Singapura.

‘‘Unik mengkaji akta lebih dari 10 buah negara dan mengambil contoh yang terbaik dari semua negara sebelum menggubal Akta AIM. AIM yang bakal dilancarkan dijangka memiliki tidak lebih 40 orang pegawai dari wakil agensi swasta, kerajaan dan ahli akademik.

‘‘Akta AIM berkenaan digubal hanya untuk tempoh 10 tahun iaitu dari 2010 hingga 2020. Ini kerana tujuan utama ia dirangka adalah bagi menyelesaikan krisis inovasi yang dihadapi Malaysia sekarang.

Selepas 2020, Malaysia perlu memberikan fokus kepada peringkat seterusnya kerana inovasi bukan lagi satu benda baru bagi Malaysia ketika itu,” katanya.

Tambah Kamal Jit, AIM mempunyai dua objektif utama dan yang pertama adalah menggunakan hak harta intelek untuk menjana pendapatan baru negara.

‘‘Banyak penyelidikan yang dilakukan oleh para profesor tersekat di universiti sekarang kerana para profesor berkenaan adalah ahli akademik dan bukannya orang bisnes. Jadi, agak sukar untuk mereka mewujudkan bisnes hasil daripada penyelidikan yang dilakukan.

‘‘Banyak teknologi yang ada potensi global tetapi terkandas di universiti. Justeru, matlamat AIM adalah untuk mencari teknologi dan fikirkan bagaimana untuk mengkomersialkan semua itu bagi meningkatkan pendapatan negara,” katanya sambil menambah kesemua teknologi yang dihasilkan dalam negara perlu dipaten.

Langkah mendaftar atau paten sesebuah harta intelek adalah penting kerana nilai harta intelek sangat tinggi. Sebagai contoh, apabila pengguna membeli sebuah iPhone, hanya lima peratus daripada harga yang dibayar oleh pengguna adalah kos pengeluaran sementara 95 peratus lagi adalah kos harta intelek.

Setakat ini, jelas Kamal Jit, pegawai Unik sudah mengenal pasti teknologi yang dihasilkan di lima universiti dan dua institut penyelidikan awam.

Objektif kedua AIM adalah membangunkan ekosistem inovasi negara di mana inovasi menjadi budaya dan boleh berkembang. Ekosistem ini mempunyai empat komponen iaitu pendidikan, industri terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS), kerajaan dan rakyat.

Tambah Kamal Jit, masalah di Malaysia sekarang adalah kesedaran masyarakat Malaysia mengenai harta intelek masih rendah kerana harta intelek tidak dipandang bernilai tinggi seperti hartanah.

‘‘Budaya menghargai harta intelek masih belum wujud di Malaysia. Kesedaran harta intelek biasanya akan meningkat dengan kemajuan negara. Dalam rantau ASEAN, negara yang mempunyai kesedaran harta intelek paling tinggi adalah Singapura diikuti Malaysia dan Thailand,” katanya.

Jelas beliau, selepas pelancaran AIM, ia akan mengadakan kerjasama dengan banyak negara. Kerjasama dengan India sudah ditandatangani ketika kunjungan Perdana Menteri, Manmohan Singh pada Oktober lalu.

‘‘India maju dalam beberapa sektor seperti teknologi maklumat dan perubatan. Mereka mempunyai kepakaran untuk mengekstrak ubat dari pelbagai tumbuhan. Malaysia mempunyai khazanah biodiversiti yang luas dan sekarang Malaysia sedang bekerjasama dengan pakar-pakar India untuk mengekstrak pelbagai ubat dari tumbuhan yang terdapat di negara ini.

‘‘Perkara lain yang akan diberikan perhatian oleh AIM adalah kekuatan Malaysia seperti biopertanian, kelapa sawit dan pelancongan. AIM juga akan menggalakkan kolaborasi di antara industri dan institusi akademik,” tambah Kamal Jit.

Jelasnya, kesemua harta intelek akan dikumpul dan diurus untuk menjana bisnes negara. Bisnes-bisnes berkenaan akan dijadikan sebuah syarikat senaraian awam atau sebuah badan induk yang menjaga kepentingan golongan yang terlibat. Dengan cara itu, negara mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang mempunyai nilai tambah pada masa akan datang.

Ditanya mengenai maklum balas pelbagai pihak terhadap pasukan Unik, Kamal Jit menjelaskan, sejak beroperasi Ogos lalu maklum balas yang diterima dari pelbagai pihak adalah sangat menggalakkan.

‘‘Inovasi mesti meningkatkan kualiti hidup, menjana pendapatan serta menjadikan kek ekonomi Malaysia lebih besar dari semasa ke semasa. Saya sedar tanggungjawab membawa pembaharuan dan menjadikan inovasi satu budaya di Malaysia tidak mudah.

‘‘Namun pasukan Unik memberikan kerjasama yang baik. Cabaran yang saya hadapi setakat ini adalah mengubah minda masyarakat untuk menerima pembaharuan demi meningkatkan ekonomi. Orang Malaysia lebih gemar hidup dalam zon selesa tanpa sebarang perubahan. Kita perlu mencontohi budaya di Lembah Silikon, AS di mana jaringan banyak diwujudkan dan masing-masing berkongsi kelebihan dan kekurangan untuk berkolaborasi meningkatkan ekonomi,” katanya.