Amalkan semangat berpasukan-NAJIB

Oleh YUSRI SAHAT dan MOHD.FAIRUZ YUSOF
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak ketika tiba di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, Pahang, semalam.
 
 
 
 PEKAN 4 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pemimpin dan ahli UMNO mencontohi pasukan yang mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi dalam kejohanan Piala Dunia untuk mencapai kejayaan.Tegas Perdana Menteri, tanpa semangat sepasukan yang tinggi, pasukan bola sepak yang dianggap pilihan, boleh ditewaskan oleh pasukan bukan pilihan berikutan amalan saling bekerjasama dan memahami antara satu sama lain.”Begitu juga dengan UMNO, kalau banyak sangat primadona, ia tidak membawa sebarang keuntungan kerana mereka bergerak sendiri tanpa semangat sepasukan.

“Kita lihat pasukan Brazil yang dianggap pasukan pilihan pun boleh tewas manakala Jerman yang tidak disangka boleh mara ke pusingan seterusnya, boleh melakukan sebaliknya.

“Kalau itu kiasan bagi bola sepak, maka jangan sesekali kita sebagai parti pilihan boleh merasakan akan berjaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti jika tiada semangat berpasukan yang tinggi,” tegasnya.

Beliau berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Menurut Najib, kejayaan pasukan yang mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi boleh mengatasi segala andaian atau ramalan yang dibuat oleh golongan pemerhati.

Sehubungan itu, tegas beliau, menang atau tewas sesebuah pasukan dalam kejohanan Piala Dunia wajar dijadikan teladan dan iktibar oleh pemimpin dan ahli UMNO.

”Semangat berpasukan mampu mengatasi segala rintangan sekali gus meletakkan parti pada landasan yang kukuh demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib sekali lagi memberi analogi terhadap pasukan yang berjaya dalam Piala Dunia dengan kekuatan parti.

”Kalau ada pasukan yang mempunyai semangat berpasukan, ia lebih berjaya daripada pasukan yang hanya mempunyai kemahiran individu yang tinggi,” jelasnya.

Mengulas perjalanan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara pada masa ini, kata beliau, pihaknya berpuas hati apabila tiada laporan negatif sepanjang persidangan berlangsung.

”Perjalanan mesyuarat UMNO dipantau jawatankuasa pengurusan parti dan laporan yang disediakan badan perhubungan UMNO masing-masing.

”Setakat ini saya tak mendapat laporan negatif, oleh itu saya rasa semua berjalan baik walaupun ada satu bahagian di Kelantan yang nampaknya menimbulkan masalah agak rumit yang sedang ditangani badan perhubungan negeri itu,” katanya.

Ditanya mengenai 10 bahagian yang memohon penangguhan mesyuarat perwakilan, jelas beliau, ia adalah perkara biasa dan ia akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pengurusan parti.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, segala teguran yang dibuat pada majlis-majlis perasmian mesyuarat perwakilan bahagian merupakan nasihat terhadap ahli parti dan dirinya sendiri.

”Saya anggap ia teguran, itu adalah untuk diri saya juga. Kita perlu sentiasa ingat mengingatkan, bukan bererti keadaan dalam parti buruk sangat tetapi saya ingin yang terbaik untuk UMNO.

”Kita sedang menghadapi pelbagai cabaran, eloklah kita menasihati antara satu sama lain supaya kita menjadi pemimpin yang disanjung rakyat,” tambahnya.