Ditulis oleh Adlan Ahmad   
Wednesday, 23 December 2009
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia perlu mencetuskan impak kreatif dalam ekonomi global yang kompetitif dengan memupuk inovasi.

Perdana Menteri berkata negara-negara yang memupuk inovasi seperti Jepun, Finland dan Amerika, berupaya membangunkan ekonomi lebih pesat sebagai hasil usaha itu.

“Inovasi mewujudkan pekerjaan dan memacu kompetitif nasional. Itu sebabnya kita juga perlu mewujudkan impak kreatif dalam ekonomi global yang kompetitif. Kita tidak seharusnya membenarkan diri kita ketinggalan,” katanya dalam laman blognya http://www.1malaysia.com.my Rabu.

Najib berkata sejak tahun 2000 produk inovatif tinggi muncul seperti iPhone, BlackBerry, Twitter, Facebook dan YouTube, di samping kebangkitan Google yang tidak dapat dibendung lagi, yang menukar cara orang ramai menggunakan media, berkongsi maklumat, dan berkomunikasi antara satu sama lain.

Perdana Menteri berkata semasa beliau mengumumkan Bajet 2010 baru-baru ini, beliau berkata kewujudan satu model ekonomi baru yang berdasarkan kepada inovasi, kreativiti, dan aktiviti nilai tambah, akan menambah pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Yang menyokong perkara ini ialah konsep 1Malaysia, atau keperluan untuk menggunakan peluang sepenuhnya daripada keupayaan kreatif seluruh rakyat Malaysia. Sebagaimana yang diiktiraf oleh pakar antarabangsa baru-baru ini, ‘1Malaysia amat selesa dengan inovasi. Kemahiran bukan hanya berada dalam satu kebudayaan, ia diagihkan’,” katanya.

Selaras dengan tahun 2010 yang akan dinobatkan sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi, Perdana Menteri berkata satu Pusat Inovasi Negara (MyNIC) dengan sokongan rangkaian kerja pusat kecemerlangan akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

Najib berkata tujuan MyNIC adalah ‘simple’ iaitu untuk meningkatkan keupayaan saintifik dan teknologi negara.

“Pada masa yang sama langkah-langkah seperti pengenalan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan memupuk budaya inovasi dalam sektor awam,” katanya.

Menurutnya dengan kemunculan Inovasi Rangkaian kerja 4G hujung tahun depan yang membawa keupayaan jalur lebar kelajuan tinggi ke seluruh Malaysia, ia akan menambah lagi peluang untuk berinovasi.

“Memang jelas, Bank Dunia berkata peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar boleh turut membawa kaitan kepada peningkatan 1.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar,” tambahnya.

SUMBER : BERNAMA, 23 DIS 2009